Tuesday, November 6, 2012

AC Mizal nafi gagal dalam perniagaan

AC Mizal nafi gagal dalam perniagaan


Banyak cerita tak enak dikaitkan dengan AC Mizal sejak akhir-akhir ini. Antaranya dikatakan sudah jatuh gara-gara kegagalan perniagaan jualan langsungnya.
Kehadirannya melancarkan rangkaian sosial baru buatan Malaysia, mface hari ini membuktikan cerita negatif itu tidak sah. AC ialah Pengerusi mface yang dilancarkan penuh meriah dengan sokongan lebih 60 selebriti popular.
"Saya tahu macam-macam cerita pasal saya, ada yang kata saya mengalami masalah dan sudah jatuh. Kalau saya dah jatuh takkan saya mengadakan majlis malam ini," kata AC kepada media.
Dia sentiasa memandang positif walaupun sentiasa dihujani kritikan dan sebaran cerita sensasi yang tak benar.
"Saya selalu membaca fan page facebook Perdana Menteri. Dia lagi banyak dihemtam. Apalah sangat yang saya kena ni," katanya.
Dalam ucapannya AC mengumumkan artis yang ada di majlisnya akan diberikan 100,000 saham mface. Seramai 60 artis akan dapat saham itu apabila mface disenarai di Bursa Malaysia bila mencecah sejuta pelanggan.
Antara artis yang hadir termasuk Zizan Raja Lawak, Abby Abadi, Zain Saidin, Adlin Aman Ramli, Linda Rafar, Amyza Aznan, Azza, Maulana, Forteen, Afdlin Shauki dan ramai lagi.
"Saya menawarkan saham kepada artis kerana mereka mempunyai ramaii peminat dan boleh membawa ramai pengikut menyertai mface. saya yakin dalam masa sekiitar dua bulan boleh mencecah sejuta yang menyertai mface," katanya.

Mface - Pancaindera di Melaka

Mface - Pancaindera di Melaka

Juara Musim Pertama Pertandingan 2minutes 2fame MFace - Pancaindera, Jamilah Abu Bakar bakal membuat persembahan di Melaka pada 16 September ini.
SERAMAI 20 finalis 2minutes 2fame Mface - Pancaindera akan bersaing merebut gelaran juara pusingan sesi tiga yang bakal diadakan di ruang legar AEON Bandaraya Melaka, Melaka pada 16 September depan. Perkhabaran berita gembira sebegini perlu diuar-uarkan lebih awal kerana pertandingan siri pencarian bakat ini semakin mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.
Menerusi dua siri pertandingan sesi pertama dan kedua 2minutes 2fame Mface - Pancaindera yang diadakan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur terdahulu berjaya mencungkil lebih banyak bakat terpendam. Sudah pasti, siri ketiga ini bakal menyaksikan persaingan sengit di antara finalis yang berusaha untuk memukau pengunjung di bandaraya bersejarah itu nanti.
Finalis yang terpilih pada minggu pertama sesi ketiga ialah bakal penyanyi Beverly Heng yang bernombor kod 10361, tarian Wt Wong (10354), Love Main Theme Song (10345), I Surrender - Yee Jia Hui (10360) dan tarian tiga dalam satu Hindi belly-hip-hop (10353).
Sementara finalis minggu kedua ialah Seven loney days oleh YY Lee (10371), PC freestyle football freestyler performance (10373), tarian Muhibbah daripada Amelia Lee (10368), nyanyian Chan Sher Qi (10369) dan Diabolo oleh Vincent Chia (10335).
Persaingan semakin rancak dengan pembabitan finalis Jackson Chua bernombor kod 10391, Shangri la oleh Xy Khor (10390), tarian Chan Sher Ly (10385), nyanyian Harry Wong (10384) dan Kembali oleh Chasya (10378) untuk minggu kedua.
Sementara minggu keempat pula, pengunjung AEON Bandaraya Melaka pasti teruja dengan persembahan magik daripada Eric Goh (10398), Confusian Diabolo Team (10399), Mas Twin (10400) dan tarian sengit antara Ms. Wana (10408) dan LOL Crew (10409).
Oleh itu, kesemua finalis diminta membuat latihan demi latihan supaya persembahan lebih memikat untuk memenangi wang tunai berjumlah RM3,000 untuk pemenang pertama, kedua (RM1,500) dan ketiga (RM500) serta voucer makanan tajaan Paparich. Pemenang juga bakal menempah tiket kemenangan untuk pertandingan akhir 2 Minutes 2 Fame M-Face - Pancaindera yang bakal diadakan awal tahun depan.
Bakat mereka bakal dinilai oleh juri professional yang terdiri daripada pelakon dan pelawak Sathiya, Chiong Pei Pei dan Christel Teo serta beberapa selebriti tempatan pada hari berkenaan. Pertandingan 2minutes 2face Mface - Pancaindera terdiri daripada enam sesi iaitu 24 minggu. Setiap satu sesi terdiri daripada empat minggu dan setiap minggu ada lima pemenang yang dipilih. Ini bermakna, terdapat 20 pemenang akan membuat persembahan secara langsung sebelum bertanding ke peringkat akhir di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, awal tahun depan.
Bagi pembaca setia Pancaindera yang bertungkus-lumus meneka klip video mana yang paling menonjol, jangan lupa nantikan keputusan tekaan paling tepat selewat-lewatnya pada keluaran 30 September ini.
Seramai empat pemenang dikenal pasti bakal menerima telefon pintar i6 jenama MBI International. Kesemua hadiah boleh dituntut di Utusan Melayu (M) Berhad, Jabatan Komunikasi Korporat, Aras 7, Menara PGRM, No: 8 Jalan Pudu Ulu, 56100 Cheras Kuala Lumpur.

Penjelajahan mface kini bermula

Penjelajahan mface kini bermula

AC Mizal bersama Pengasas MFace, Mr. Tedy (dua dari kiri) ketika pelancaran laman sosial itu di Jakarta baru-baru ini.
DENGAN kehadiran lebih dua ribu orang tetamu, laman sosial pertama ciptaan anak tempatan yang diberi nama MFace sudah mula mengorak langkah apabila kali pertama diperkenalkan di negara jiran Indonesia.
Kini laman sosial tersebut boleh diakses di Indonesia setelah MFace secara rasminya dilancarkan pada 19 Oktober lalu di Hotel Shangrila, Jakarta oleh presidennya, Datuk AC Mizal.
Pelancaran ini menjadi satu lembaran baru kepada syarikat tersebut untuk mengorak langkah ke arah memperkenalkan laman sosial tersebut kepada penduduk di negara terbesar Asia Tenggara itu.
Bagi AC Mizal, sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat di Indonesia ini cukup menggalakkan dan ini adalah satu perkara di luar jangkaan.
"Sejak hari pertama sampai di sini, saya cukup terkejut dengan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini terutamanya penduduk di Jakarta memang di luar jangkaan saya.
"Jumlah yang hadir ini sebenarnya bukan sahaja dari Indonesia dan Malaysia malahan dari beberapa negara Asia yang lain antaranya Singapura, Thailand dan China.
Ditanya mengapa memilih Indonesia sebagai negara pertama selepas MFace mula diperkenalkan di Malaysia, jelas AC, Jakarta dipilih kerana mempunyai bilangan penduduk yang cukup tinggi serta keterujaan rakyatnya menggunakan laman sosial terutamanya Facebook.
"Sejak permulaan Mface diperkenalkan, saya telah berazam untuk menjadikan Indonesia sebagai negara luar pertama untuk melebarkan pengaruh laman sosial ini sebelum saya menawan seluruh Asia.
"Kesempatan yang diperolehi ini tidak akan disia-siakan dan kami akan terus mengorak langkah untuk pergi lebih lagi selepas ini," kata AC Mizal.
Dengan tema Mface ialah wajah Asia, AC menegaskan laman sosial ini bukan sebarangan tetapi lebih lengkap dari laman sosial yang sedia ada.
Laman ini membolehkan pengguna berhubung dengan rakan secara mudah, mencari kenalan baru, laman bual, permainan, malah pemilik akaun boleh menikmati saluran Youtube di laman sosial ini tanpa membuka laman Youtube terlebih dahulu.
Lebih penting lagi setiap akses yang aktif akan mendapat ganjaran tertentu dan istimewa daripada pihak Mface antaranya iPad.
Lebarkan sayapMenurut AC lagi, selepas ini MFace akan terus menjelajah ke serata Asia dan tumpuan seterusnya ke Thailand, Hong Kong dan China.
"Insya- Allah bulan hadapan, kami akan melebarkan sayap ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke beberapa lagi negara Asia yang lain," kata AC.
Dalam majlis tersebut, MFace yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 21 Disember tahun lalu ini merupakan satu laman sosial yang bukan sahaja untuk menukar maklumat melalui format teks, foto dan video malah boleh diakses menggunakan format PDF.
Selain itu, MFace juga menggunakan beberapa pengisian yang cukup mudah berbanding dengan laman sosial yang lain.
Menurut AC, MFace sebenarnya menggabungkan sistem yang diperkenalkan oleh Facebook dan Twiter tetapi laman ini boleh digunakan secara mudah dan lebih efektif.
MFace juga didatangi dengan pelbagai bahasa antaranya Bahasa Melayu, Inggeris, Thai dan China.
Dalam pada itu, beberapa artis Indonesia antaranya Reza Artamevia yang diberi mandat untuk memegang sejumlah saham syarikat MFace berkata, pelancaran laman sosial baru ini adalah satu perkara yang amat bagus untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya.
"MFace begitu penting kepada saya serta para artis yang lain. Laman ini juga akan merapatkan lagi jurang antara peminat dengan saya kerana mereka boleh berhubung terus dengan saya.
"Para peminat juga boleh mengetahui perkembangan terkini artis kegemaran mereka," katanya.
Pihak MFace juga memetrai perjanjian persefahaman bersama laman hiburan Indonesia Pasbanget.co dan Game view bagi menarik minat lebih ramai lagi penggunanya di Indonesia.
Antara artis Indonesia yang profilnya dipaparkan di dalam MFace Indonesia adalah Alexandra Gottardo, Nabilla Syakieb, Andrew Andika, Citra Kirana, Velove Vexia, Rama Michael, Ali Syakieb dan Aditya Firmansyah. Turut sama Samuel Zylgwyn, Tatjana Saphira, Audi Marissa, Bagus Akbar, Angel Lelga, Boy Hamzah, Ferry Ardiansyah dan Nuri Maulida.

Mface tiru Facebook?

Mface tiru facebook?

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
SIMBOLIK...barisan artis yang menurunkan tandatangan pada majlis pelancaran Mface.
SIMBOLIK...barisan artis yang menurunkan tandatangan pada majlis pelancaran Mface.
DILAHIRKAN pada tanggal 14 Mei 1984, usianya kini 28 tahun. Namun sejak tiga tahun yang lalu yakni 2008 beliau sudah pun bergelar bilionair, sekali gus diumumkan sebagai juwatan termuda dunia. Kekayaan milik Mark Zuckerberg bukan warisan turun-temurun keluarga sebaliknya bersandarkan aset perniagaannya sendiri.
Facebook, yang berinteraksi sekitar Universiti Harvard pada 2004 mencetuskan fenomena seluruh dunia sehingga menjulang nama Mark.Kejayaan Mark dibaca, memberi inspirasi kepada orang ramai khususnya golongan remaja mengikuti jejaknya.
Berasakan Malaysia juga berkemampuan mewujudkan laman sosial sendiri setanding facebook, pelakon dan pengacara, Datuk AC Mizal memperkenalkan laman sosial pertama Malaysia iaitu Mface.

Membawa pengertian Malaysian Face (Mface), dicetuskan hasil perkongsian idea AC Mizal bersama rakan kongsi juga pengasas laman itu, Tedy Teow.

Majlis pelancarannya diadakan di Hotel Doubletree By Hilton, Ampang, Rabu lalu dan dimeriahkan dengan kehadiran Afdlin Shauki, Zizan Razak, Amyza Adnan, Ezlynn, Aril AF7, Linda dan Diana Rafar, Kumpulan Forteen, Serina Redzuan, Sathiya dan ramai lagi.

Menurut AC, Mface sebuah laman sosial tempatan diilhamkan daripada facebook bagaimanapun konsep yang diketengahkan sedikit berbeza kerana ia membawa pulangan buat pelayarnya.

“Fungsinya sama seperti facebook apabila pengguna boleh mengemas kini gambar, status dan berkongsi perkembangan serta maklumat mereka dengan orang ramai.

“Cuma yang berbeza adalah kita wujudkan laman ini dengan cara yang lebih bijak dan bermanfaat, dengan menawarkan peluang menjana pendapatan kepada 60 artis tanah air yang sama-sama berusaha membangunkan menerusi laman itu.

“Jika sebelum ini golongan artis kerap mengemas kini status dan perkembangan mereka di laman sosial seperti facebook dan twitter secara percuma, penyertaan dalam Mface ini memberikan pendapatan apabila syer mereka dilaburkan ke dalam pasaran saham kelak.

“Setiap seorang artis meskipun mereka pasangan suami-isteri tetap akan diberikan 100,000 unit. Bagaimanapun, sebelum mendapat perolehan syer kita perlu mencapai satu juta pengguna bagi melayakkan laman ini disenaraikan dalam bursa saham.

“Apabila ia disenaraikan dalam bursa saham kelak, semua artis akan menerima pendapatan daripada syer mereka,” katanya.

AC menambah, dia berniat membantu golongan artis kerana kebanyakan mereka tidak berpendapatan tetap dan melihat Mface salah satu ruang niaga yang baik
“facebook mahupun twitter menjadi sangat terkenal kerana golongan selebriti turut menggunakan medium itu, sekali gus mempopularkannya tetapi apa yang mereka dapat sedangkan setiap hari pengasasnya bertambah kaya.

“Saya mewujudkan Mface ini supaya artis juga boleh mendapatkan hak mereka dengan melantik 60 artis terawal yang datang mendaftar di pelancaran ini sebagai pemilik syer, MFace.

“Hanya ini mampu saya lakukan untuk menyatakan keprihatinan saya sebagai anak seni dan agar suatu hari apabila sudah tiada saya akan diingat kerananya,” katanya.

Cara mendaftar Mface cukup mudah sama seperti facebook atau twitter tanpa memerlukan sebarang modal atau bayaran.

Sebagai bentuk promosi dalam tempoh enam bulan, setiap pemilik akaun Mface yang mengumpul mata tertinggi menerusi kemas kini status mereka pada setiap minggu berpeluang untuk memenangi hadiah iPad 2.

“Pemilik akaun Mface tidak kira golongan artis atau orang awam akan berpeluang untuk memenangi hadiah iPad 2 menerusi mata terkumpul tertinggi yang diperoleh daripada kemas kini status mereka.

“Untuk berlaku adil, pemenang mingguan tidak akan diberi kepada individu yang sama meskipun kita boleh menjangkakan siapakah artis yang mempunyai paling ramai pengikut berdasarkan populariti mereka,” katanya.

Merancang untuk meluaskan jaringan Mface ke negara serantau Asia, AC yakin ia bakal diterima rakyat negara ini, sekali gus mencapai sasaran 1 juta pengguna dalam tempoh beberapa bulan dari sekarang.

Untuk menyertai laman ini, pengguna boleh layari www.mface.me. Temubual yang sama, AC turut mengesahkan penerimaan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ bersempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah ke-81 pada Khamis.

Pengesahan AC itu sekali gus menepis pelbagai spekulasi yang mempertikaikan pengurniaan itu sebelum ini kepadanya.

“Saya menerima surat pengurniaan Datuk dua tahun lalu pada hari keputeraan baginda yang ke-79. Cuma pengurniaan darjah itu belum dilaksana secara rasmi pada satu majlis dinamakan pengkalungan.

“Apabila ada wartawan menemubual saya, benarkah saya memperoleh gelaran datuk saya mengakulah kerana memang itulah perutusan yang saya terima. Entah bagaimana hal itu menjadi kontroversi.

“Bertitik-tolak daripada kes saya, pihak istana memberi arahan selagi tidak tiba hari pengkalungan maka gelaran datuk tidak boleh diguna walaupun sudah memperoleh surat penganugerahan darjah,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2011/12/27