Tuesday, November 6, 2012

Penjelajahan mface kini bermula

Penjelajahan mface kini bermula

AC Mizal bersama Pengasas MFace, Mr. Tedy (dua dari kiri) ketika pelancaran laman sosial itu di Jakarta baru-baru ini.
DENGAN kehadiran lebih dua ribu orang tetamu, laman sosial pertama ciptaan anak tempatan yang diberi nama MFace sudah mula mengorak langkah apabila kali pertama diperkenalkan di negara jiran Indonesia.
Kini laman sosial tersebut boleh diakses di Indonesia setelah MFace secara rasminya dilancarkan pada 19 Oktober lalu di Hotel Shangrila, Jakarta oleh presidennya, Datuk AC Mizal.
Pelancaran ini menjadi satu lembaran baru kepada syarikat tersebut untuk mengorak langkah ke arah memperkenalkan laman sosial tersebut kepada penduduk di negara terbesar Asia Tenggara itu.
Bagi AC Mizal, sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat di Indonesia ini cukup menggalakkan dan ini adalah satu perkara di luar jangkaan.
"Sejak hari pertama sampai di sini, saya cukup terkejut dengan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat negara ini terutamanya penduduk di Jakarta memang di luar jangkaan saya.
"Jumlah yang hadir ini sebenarnya bukan sahaja dari Indonesia dan Malaysia malahan dari beberapa negara Asia yang lain antaranya Singapura, Thailand dan China.
Ditanya mengapa memilih Indonesia sebagai negara pertama selepas MFace mula diperkenalkan di Malaysia, jelas AC, Jakarta dipilih kerana mempunyai bilangan penduduk yang cukup tinggi serta keterujaan rakyatnya menggunakan laman sosial terutamanya Facebook.
"Sejak permulaan Mface diperkenalkan, saya telah berazam untuk menjadikan Indonesia sebagai negara luar pertama untuk melebarkan pengaruh laman sosial ini sebelum saya menawan seluruh Asia.
"Kesempatan yang diperolehi ini tidak akan disia-siakan dan kami akan terus mengorak langkah untuk pergi lebih lagi selepas ini," kata AC Mizal.
Dengan tema Mface ialah wajah Asia, AC menegaskan laman sosial ini bukan sebarangan tetapi lebih lengkap dari laman sosial yang sedia ada.
Laman ini membolehkan pengguna berhubung dengan rakan secara mudah, mencari kenalan baru, laman bual, permainan, malah pemilik akaun boleh menikmati saluran Youtube di laman sosial ini tanpa membuka laman Youtube terlebih dahulu.
Lebih penting lagi setiap akses yang aktif akan mendapat ganjaran tertentu dan istimewa daripada pihak Mface antaranya iPad.
Lebarkan sayapMenurut AC lagi, selepas ini MFace akan terus menjelajah ke serata Asia dan tumpuan seterusnya ke Thailand, Hong Kong dan China.
"Insya- Allah bulan hadapan, kami akan melebarkan sayap ke Bangkok, Thailand dan seterusnya ke beberapa lagi negara Asia yang lain," kata AC.
Dalam majlis tersebut, MFace yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia pada 21 Disember tahun lalu ini merupakan satu laman sosial yang bukan sahaja untuk menukar maklumat melalui format teks, foto dan video malah boleh diakses menggunakan format PDF.
Selain itu, MFace juga menggunakan beberapa pengisian yang cukup mudah berbanding dengan laman sosial yang lain.
Menurut AC, MFace sebenarnya menggabungkan sistem yang diperkenalkan oleh Facebook dan Twiter tetapi laman ini boleh digunakan secara mudah dan lebih efektif.
MFace juga didatangi dengan pelbagai bahasa antaranya Bahasa Melayu, Inggeris, Thai dan China.
Dalam pada itu, beberapa artis Indonesia antaranya Reza Artamevia yang diberi mandat untuk memegang sejumlah saham syarikat MFace berkata, pelancaran laman sosial baru ini adalah satu perkara yang amat bagus untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya.
"MFace begitu penting kepada saya serta para artis yang lain. Laman ini juga akan merapatkan lagi jurang antara peminat dengan saya kerana mereka boleh berhubung terus dengan saya.
"Para peminat juga boleh mengetahui perkembangan terkini artis kegemaran mereka," katanya.
Pihak MFace juga memetrai perjanjian persefahaman bersama laman hiburan Indonesia Pasbanget.co dan Game view bagi menarik minat lebih ramai lagi penggunanya di Indonesia.
Antara artis Indonesia yang profilnya dipaparkan di dalam MFace Indonesia adalah Alexandra Gottardo, Nabilla Syakieb, Andrew Andika, Citra Kirana, Velove Vexia, Rama Michael, Ali Syakieb dan Aditya Firmansyah. Turut sama Samuel Zylgwyn, Tatjana Saphira, Audi Marissa, Bagus Akbar, Angel Lelga, Boy Hamzah, Ferry Ardiansyah dan Nuri Maulida.

No comments:

Post a Comment